Adab Orang Yang Belajar Ilmu.. - CUPI CRYPTO

Crypto & Blockchain Business Practitioner ➡️ https://linktr.ee/cupi | SEO Expert ➡️ majelis.info | Let's collaborate and achieve success together!

ads

Hot

Post Top Ad

Rabu, 02 Februari 2011

Adab Orang Yang Belajar Ilmu..


ana kutip daripada kitab Siyarus Salikin Juz 1 Baul Fadhilatul 'ilmu fashol

Adab orang yang belajar ilmu..

*( FASAL ) ADAB ORANG YANG BELAJAR ILMU*

( Adapun ) adab orang yang belajar ilmu itu maka yaitu terbahagi dua bahagi:

( Pertama: ) adab yang tertentu pada dirinya.

*( Kedua: ) adab (be)serta gurunya yang mengajar ( akan dia ).*

*( FASAL ) ADAB ORANG YANG BELAJAR ILMU SERTA GURUNYA YANG MENGAJAR*

( Adapun ) adab orang yang belajar ilmu serta gurunya yang mengajar akan dia
itu beberapa perkara (ya’ni banyak); tetapi disebutkan oleh Imam Al-Ghazaly
(*رحمه الله تعالى*) di dalam Bidayatul Hidayah (sebanyak) sebelas perkara.

*( Pertama )* Apabila berdapat (ya’ni bertemu) dengan gurunya, maka
hendaklah (dia) mendahulukan memberi salam.

*( Kedua )* Bahawa jangan membanyakkan berkata-kata pada (ya’ni di) hadapan
gurunya itu.

*( Ketiga )* Bahawa jangan ia berkata dengan barang yang tiada (di)izin(kan
dahulu) oleh gurunya.



*( Keempat )* Jangan ia bertanya akan gurunya melainkan kemudian
daripada (ya’ni
sesudah) meminta izin daripadanya (ya’ni gurunya).

*( Kelima ) *Bahawasanya jangan ia menyangkal akan perkataan gurunya itu
dengan katanya, “si polan menyalahi akan (ya’ni menyatakan lain daripada
apa) yang engkau (ya’ni gurunya) kata itu”, atau sebagainya.

*( Keenam )* Bahawa jangan ia memberi isyarat akan gurunya itu dengan
menyalahi (ya’ni untuk menyatakan lain) akan bicara gurunya, lalu (murid
itu) menyangkai bahawa (dia) terlebih benar daripada (apa yang
dikatakan)gurunya; atau terlebih tahu ia daripada gurunya. Maka yang
demikian itu
kurang adab kepada gurunya lagi kurang berkat.

*( Ketujuh ) *Bahawa jangan ia berbisik-bisik dengan orang yang sama
duduk (yaitu
duduk bersamanya) pada hadapan gurunya itu.

*( Kedelapan )* Bahawa jangan ia berpaling ke kiri dan ke kanan pada hadapan
gurunya itu, (bahkan sebaliknya) hendaklah ia duduk tunduk lagi beradab
seolah-olah ia di dalam sembahyang.

*( Kesembilan )* Bahawa jangan ia membanyakkan pertanyaan kepada gurunya itu
tatkala segan gurunya itu daripada berkata-kata (ya’ni kurang suka
memperkatakan atau membicarakannya), atau tatkala ia lelah (ya’ni letih atau
penat).

*( Kesepuluh )* Apabila berdiri gurunya atau baharu datang gurunya itu, maka
hendaklah ia berdiri pula karena menta’dzimkan akan gurunya itu, dan jangan
diikuti pada ketika bangkitnya itu dengan pertanyaan dan soal(an). Dan
jangan bertanya masalah pada ketika ia berjalan hingga sampai kepada tempat
duduknya itu, melainkan karena dharurat (ya’ni terpaksa) maka yaitu (ya’ni
yang mana) tiada tertegah bertanya di dalamnya (ya’ni pada ketika itu).

*( Kesebelas )* Jangan jahat sangka akan gurunya itu pada segala
perbuatannya yang dzahir menyalahi i’tiqadnya, atau bersalahan perbuatan
gurunya itu (ya’ni melakukan sesuatu yang lain daripada) pengetahuannya,
atau dengan adatnya (ya’ni kebiasaannya); karena gurunya itu terlebih tahu
dengan segala hukum syara’ dan segala rahsia syariat, (seperti) hikayat Nabi
Musa (*عليه السلام*) dan Nabi Khidir (*عليه السلام*).

(Nota: kisah ini adalah antara kisah para Nabi yang maksum, yang mana tidak
boleh kita samakan apa yang berlaku yaitu melibatkan perbuatan berat seperti
membunuh, dan merosak harta orang lain dalam konteks murid dan guru hari
ini. Kisah ini hanya dibawa untuk ibarat atau contoh untuk menjelaskan
*keterangan
adab kesebelas* di atas sahaja yaitu adab dalam berhubungan antara murid dan
guru, untuk menyatakan hakikat bahawa guru biasanya lebih faham akan rahsia
sesuatu syariat.)

Maka bahawasanya (dzahir) perbuatan Nabi Khidir (*عليه السلام*)
memasukkan (ya’ni
merosakkan) akan perahu orang yang tempat ia menumpang akan dia (ya’ni
perahu orang yang memberi mereka tumpang naiki dalam kejadian yang pertama),
dan membunuh ia akan kanak-kanak yang belum berdosa (dalam kejadian yang
kedua); maka dzahir perbuatan Nabi Khidir (*عليه السلام*) itu
menyalahi ia (ya’ni
berlawanan) akan syariat. Dan sebab itu maka menegur Nabi Musa (*عليه السلام
*) akan dia (ya’ni Nabi Musa (*عليه السلام*) menegur Nabi Khidizir (*عليه
السلام*) itu) pada permulaan (ya’ni pada mulanya persahabatan dan perguruan
mereka). Tetapi pada hakikatnya, tiada menyalahi ia (ya’ni perbuatan Nabi
Khidir (*عليه السلام*)) akan syariat. Dan dengan sebab itulah bahawa Nabi
Musa (*عليه السلام*) pada akhir perbuatannya itu membenarkan akan Nabi
Khidir (*عليه السلام*) itu (ya’ni mengakui kebenaran perbuatan Nabi Khidhir
(*عليه السلام*) itu) serta *taslim* (ya’ni tunduk) ia (ya’ni Nabi Musa
sebagai murid patuh) akan dia (ya’ni Nabi Khidir sebagai gurunya).

Wallahu A'lam...
Sumber: Abi Nurman

blog comments powered by Disqus

Post Top Ad